SELAMAT DATANG

Tuesday, June 26, 2012

POKOK KELAPA MATAG

Kelapa MATAG

Coconut green.JPG
Pengelasan saintifik
Alam: Tumbuhan
Divisi: Magnoliophyta
Kelas: Liliopsida
Order: Arecales
Keluarga: Arecaceae
Genus: Cocos
Spesies: C. nucifera
Nama binomial
Cocos nucifera 'MATAG'

Kelapa MATAG (Cocos nucifera 'Matag') merupakan kultivar kelapa yang disyorkan untuk tanaman di Malaysia oleh Jabatan Pertanian Malaysia.[1] Kelapa ialah dari keluarga Arecaceae atau keluarga Palmae merupakan tumbuhan pelbagai guna dari bahagian batang, daun, dan buahnya iaitu sabut, air kelapa, tempurung dan isinya oleh manusia terutama di Asia Tenggara dan Kepulauan Pasifik. Sebut sahaja kelapa maka akan terbayang pokok yang tumbuh menegak tanpa cabang dengan daun yang banyak jejari dan lazimnya ditanam di kawasan tanah persisir pantai.

Di Malaysia terdapat beberapa varieti kelapa yang tumbuh sendiri atau ditanam secara komersil semenjak dahulu yang dikenali dengan varieti 'Malayan Tall'. Terdapat seluas 110,000 hektar tanaman kelapa di Malaysia pada tahun 2011 dengan pengeluaran sebanyak 527,650 metrik tan yang bernilai sekitar RM 264 juta. Walaupun keluasan tanaman kelapa telah berkurang daripada 121,011 hektar pada tahun 2005 (kurang hampir 10,000 hektar), tetapi pengeluaran kelapa masih ditahap memuaskan dari 538,807 mt kepada 527,650 sahaja. Ini kerana penanaman kelapa matag dipercayai meningkatkan hasil pengeluaran setiap hektar.

Kelapa matag adalah nama singkatan bagi kacukan antara varieti kelapa 'Malayan Tall' dangan kelapa 'Tagnanan' yang dicantumkan menjadi 'MATAG'.[2]Industri tanaman kelapa di Malaysia merupakan satu industri penting dikalangan petani yang menyumbang kepada sosio-ekonomi untuk pembasmian kemisikinan terutamanya pekebun kecil kelapa. Kebanyakan mereka mananam kelapa varieti 'Malayan Tall' yang telah tua dan tidak produktif lagi dengan penghasilan yang sangat rendah. Seramai lebih 80,000 petani dilaporkan terlibat dengan penanaman kelapa pada 2010 dengan keluasan mencapai 110,000 hektar terutama di beberapa kawasan seperti di Johor, Selangor, Perak, Sabah dan Sarawak. Kebanyakan mereka kini telah mula mengubah tanaman kelapa kepada tanaman lain seperti kelapa sawit dan dusun campuran kerana jaminan pendapatan yang lebih elok berbanding kelapa sahaja. Bagaimanapun pengenalan varieti kelapa 'Matag' telah membantu mengekalkan penanaman kelapa di sini kerana permintaan kelapa yang terus meningkat.

Isi kandungan

Penanaman

Penanaman kelapa matag telah mula dikomersilkan di sebuah estet swasta di Perak dengan keluasn sekitar 2,200 hektar semenjak dulu dan mampu mengeluarkan beratus juta biji kelapa setahun. Ladang Jendarata milik United Plantation menanam kelapa ini untuk pengeluaran kelapa segar dan juga merupakan satu-satunya pengeluar anak benih tulen kelapa 'Matag' di Malaysia secara komersil. Jabatan Pertanian juga ada mengeluarkan benih kelapa 'Matag' yang tulen dari beberapa stesen kelapa. Pada satu masa dahulu Ladang Jenderata membekalkan sebanyak 66% daripada jumlah keperluan penanaman kelapa 'Matag' kepada Jabatan Pertanian dalam 'Program Penanaman Semula Kawasan Kelapa'. Pada peringkat awal, kos bagi pembelian anak benih kelapa 'Matag' cuma RM 6.50 sepokok dan kemudian telah meningkat kepada RM 15.00 sepokok 2-4 tahun lalu dan kini pada tahun 2012 telah mencecah kepada RM 22.00 sepokok. Permintaan yang tinggi, kos pengeluaran yang meningkat dan keadaan cuaca yang banyak hujan menyebabkan peratusan kejayaan untuk mendapatkan anak benih kelapa 'Matag' rendah menyebabkan kos jualan anak benih kelapa ini telah banyak meningkat.
Anak benih tulen merupakan asas kepada kejayaan penanaman kelapa 'Matag'. Petani perlu mendapatkan bekalan anak benih 'Matag' daripada pembekal sah yang mampu menyediakan benih tulen iaitu Jabatan Pertanian dan Ladang Jenderata (UP) sahaja. Walaupun ada nurseri swasta yang mendakwa mempunyai anak benih kelapa matag, ia perlu diawasi kerana peratus kejayaan proses pendebungaan kelapa matag sekitar 45-50% sahaja yang menjadi kelapa matag. Manakala 50% lagi mungkin tidak menjadi kelapa matag tetapi jadi kelapa MRD atau Tagnanan atau lain-lain.
Penyediaan anak benih kelapa matag adalah menggunakan debunga dari pokok varieti 'Tagnanan' (tinggi) dengan pokok varieti 'Malayan Red Drawrf' (MRD) atau 'Malayan Yellow Dwarf' (MYD) yang rendah dan renek. Debunga Tagnanan disembur kepada bunga betina MRD/MYD dan ditutup rapat. Lazimnya selepas setahun baru akan dapat anak benih matag selepas proses menakai (culling) pokok yang bukan jenis matag.
Jarak penanaman kelapa matag adalah mengikut jenis tanah tetapi lazimnya sekitar 8.1 meter x 8.1 meter dengan kadar kepadatan sebanyak 178 pokok sehektar. Pokok kelapa memerlukan 100% cahaya matahari untuk memberikan hasil yang optima. Sediakan lubang penanaman dengan ukuran 0.45m x 0.45m x 0.45m sebelum menanam dan berikan baja organik dan 200 gram baja Fosfat digaul kedalam lubang penanaman. Penanaman kelapa sering diintergrasikan dengan tanaman selingan seperti pisang, nanas, tanaman kontan seperti jagung, sayur-sayuran, keledek, keladi dan sebagainya. Kaedah ini akan memastikan petani mendapat pendapatan lebih cepat sementara menunggu pokok kelapa matag berbuah. Aktiviti penternakan seperti menternak ayam, kambing atau lain-lain yang sesuai juga digalakan dalam program pemulihan kawasan kelapa oleh kerajaan. Program pembajaan kelapa matag diberikan sebanyak 1 kg sepokok dengan NPK 15:15:15 pada tahun pertama dan ditambah kepada 1.5 kg/pokok pada tahun kedua dan seterusnya. Baja NPK 12:12:17:2 diberikan sebanyak 5 kg/pokok/ tahun setelah pokok mula berbuah pada tahun keempat atau tahun kelima. Pengapuran sebanyak 2-3 mt/ha/ tahun disyorkan untuk diberikan terutama dikawasan tanah persisir pantai.

Penyakit dan perosak

Masalah serangan kumbang tanduk (Oryctes rhinocerous) merupakan ancaman peringkat awal penanaman yang perlu dikawal. Kumbang tanduk yang masuk ke dalam anak pokok yang baru ditanam akan memakan umbut dan menyebabkan pokok akan mati jika tidak dikawal. Kawalan dengan cara manual (musnahkan perumah) atau gunakan racun yang sesuai seperti carbofuran. Perosak lain tanaman kelapa seperti kumbang jalur merah (Rynchoporus schach) yang juga serangga merosakkan batang dan pucuk kelapa matag dikawal dengan racun monocrothopos atau metamidophos (5-10 mL/pokok) iaitu cara suntingan batang pokok. Masalah lain ialah seperti serangan ulat beluncas, ulat pengorek daun (Artona catoxantha) dan beberapa perosak lain.

Penuaian

Kelapa Matag lebih cepat mengeluarkan hasil berbanding dengan varieti kelapa 'Malayan Tall' sedia ada iaitu petani boleh mengutip hasil buah kelapa seawal 3-4 tahun selepas penanaman. Berdasarkan laporan penilaian yang dibuat Jabatan Pertanian mendapati seluas lebih 67 hektar kelapa matag ditanam di Perak, Johor dan Selangor pada tahun 2009 dimana melibatkan sebanyak 17,000 pokok dibuat kajian. Kebanyakan petani menanam dengan tanaman selingan seperti pisang, herba, koko, sayur-sayuran malahan ada yang menanam di celah-celah kelapa sawit. Kajian tersebut menyatakan sebanyak 992,120 biji kelapa telah dihasilkan dengan produktiviti pengeluaran hasil kelapa matag sebanyak 9,532 biji/ha/tahun (umur pokok 7 tahun), sebanyak 12,941 biji/hektar/tahun (umur 8 tahun) dan sebanyak 23,757 biji/hektar / tahun (umur pokok 9 tahun). Purata penghasilan bagi ketiga-tiga tahun tersebut adalah sebanyak 14,937 biji/hektar /tahun. Hasil pengeluaran terus meningkat saban tahun dengan penjagaan yang baik.

Potensi

Malaysia masih merupakan pengguna tegar produk kelapa untuk kegunaan harian. Banyak menu makanan harian menggunakan asas produk santan kelapa seperti nasi lemak, masakan kari, kuih muih, masak lemak cili padi, masak lemak putih dan bermacam lagi jenis masakan. Santan segar atau santan siap proses kini terdapat dipasaran dengan harga yang berpatutan. Keperluan produk kelapa di musim perayaan seperti Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji bertambah berlipat kali ganda untuk masak rendang serta lain-lain menu menyebabkan berlaku pengimportan buah kelapa dari negara jiran (terutamanya dari Indonesia) untuk menampung kekurangan ini. Program menambahkan kawasan atau menanam varieti kelapa baru seperti kelapa matag dijangka dapat memenuhi keperluan kelapa untuk rakyat Malaysia pada masa akan datang.


No comments:

Post a Comment